Wednesday, October 6, 2010

SUCINYA AGAMA KU


Sebelum memeluk Islam, Daniel Streich begitu agresif melancarkan kempen anti-Islam termasuk menentang pembinaan masjid di Switzerland.

DAN mereka tidak sekali-kali berhenti memerangi kamu sehingga mereka dapat mengembalikan kamu daripada agama kamu (kepada kekafiran). (al-Baqarah: 217)

Kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka. (al-Baqarah: 120)

Maka ini tidak menghairankan apabila sehingga hari ini umat Islam sentiasa dicabar dan tercabar dek pelbagai tindak tanduk Barat yang tidak pernah senang dengan Islam.

Bagi mereka tidak ada sisi yang positif dan baik kecuali yang hitam dan gelap sahaja mengenai Islam.

Justeru, menghapuskan Islam adalah satu agenda dan matlamat yang dilancarkan dalam apa juga bentuk.

Daripada soal yang remeh termasuk purdah, janggut, menara masjid, azan dan sebagainya lagi mereka jadikan isu dan polemik.

Ini sebagaimana yang menjadi misi dan visi kepada ahli politik Switzerland, Daniel Streich yang mencipta populariti murahan supaya negaranya bersih daripada sebarang binaan suci yang bernama masjid.

Atau sekurang-kurangnya masjid yang dibina tidak perlu sempurna dengan struktur kubah atau menara.

Alasannya, warga Barat kini hidup dalam ketakutan ekoran siri-siri keganasan dan serangan yang kononnya didalangi oleh umat itu. Oleh itu dengan adanya menara dan masjid itu akan menambahkan lagi ketakutan sehingga mereka tidak mampu meneruskan kehidupan yang sebagaimana biasa.

Streich adalah orang pertama yang mencetuskan larangan yang tidak berasas itu di Switzerland supaya negara yang terkenal dengan soal kebebasan amalan dan gaya hidup itu menuruti saudara-saudara mereka di negara Eropah lain yang mengenakan pelbagai larangan ke atas umat Islam seperti larangan berpurdah di Perancis, larangan azan dan sebagainya.

Di saat umat Islam masih begitu kecewa, marah dan sedih terhadap fitnah-fitnah jahat Barat seperti filem Fitna dan karikatur menghina Rasulullah SAW, Streich menambahkan lagi pedih itu tanpa langsung memikirkan perasaan umat Islam.

Semua itu mengingatkan kita kepada kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Galdstone (William Ewart Gladstone 1809-1898) yang berucap dalam satu persidangan Parlimen Britain sambil tangannya mengangkat senaskhah al-Quran iaitu: "Selagi al-Quran ini berada di tangan kaum Muslimin, selagi itulah Eropah tidak akan dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan damai."

Bekas instruktor tentera yang kemudian bertukar karier sebagai ahli politik untuk Parti Rakyat Swiss (SVP) dari Bandar Bulle itu menjalankan propaganda gerakan yang berbau anti-Islam dengan begitu meluas ke serata negeri.

Baginya penduduk Islam perlu mengorbankan kepentingan agama mereka jika ingin terus menetap di Switzerland.

Namun tahukah anda pada 10 November tahun lalu, Streich akhirnya meninggalkan parti SVP akibat tidak tahan dengan pendirian parti itu yang bagaikan seorang perempuan sihir jahat memburu Islam.

Malah Streich juga turut meninggalkan agama Kristian. Sebaliknya dia memilih Islam yang selama ini dia hina dan keji. Islam akhirnya menjadi anutan dan kepercayaannya yang sejati.

Dahulunya dia seorang yang rajin membaca kitab Injil dan sering beribadat di gereja-gereja akan tetapi kini, Streich adalah individu Muslim yang tidak sahaja membaca al-Quran, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, malah yang lebih 'indah'nya beliau sering beribadat di masjid.

Tanpa diduga sama sekali segala pemikiran anti-Islamnya telah bertukar 360 darjah kepada memeluk agama itu.

Malah azamnya kini untuk membina dan membangunkan sebuah masjid yang tidak sahaja paling indah di Switzerland malah di seluruh Eropah.

Iaitu masjid kelima yang pernah dibina di Switzerland.

"Pastinya sebuah masjid yang lengkap dan sempurna binaannya terutama menara yang paling tinggi dan kubah yang paling besar dan indah," katanya.

Mengharapkan agar pembinaan masjid itu sebagai satu pengampunan atas segala dosa-dosanya, ternyata Streich adalah sebagaimana penduduk Eropah lain pada mulanya mempelajari al-Quran dan cuba memahami Islam dengan tujuan untuk dijadikan senjata 'membunuh' Islam itu sendiri.

Pasti ada keburukan dan kekurangan dalam ajaran Islam yang boleh beliau gunakan sebagai senjata, tetapi ternyata sebagaimana yang akhirnya terpaksa beliau akui, Islam tidak lebih sebuah agama yang benar dan bersih daripada sebarang unsur keganasan dan kejahatan.

"Saya belajar mengenai Islam secara komprehensif semata-mata untuk memfitnah Islam. Tetapi akhirnya yang saya temui Islam merupakan sebuah kumpulan ajaran yang sangat logik yang memberikan jawapan yang masuk akal dalam apa jua persoalan penting dalam kehidupan.

Akhirnya beliau bersikap antipati terhadap pemikiran jahatnya selama ini terhadap Islam dan daripada kegiatan politik itu sendiri.

Begitupun, beliau dikatakan dalam usaha untuk menubuhkan sebuah parti baru, iaitu Parti Demokratik Konservatif Sivil (CCDP) berpusat di Freiburg.

"Penubuhan ini tidak lain sebagai menyaingi SVP sebagai satu tanggungjawab saya untuk membersihkan semula segala kekotoran yang saya taburkan selama ini," katanya.

Beliau mempunyai pengaruh yang kuat dalam SVP menyebabkan saranan mengenai larangan beliau bagi mendiskriminasi Islam itu telah memasuki ke peringkat penggubalan undang-undang yang kini cuba dihalang oleh Streich sendiri.

"Jika inisiatif jahat saya itu diterima, ia pasti merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat saya yang menyebabkan saya bertanya pada diri sendiri, alangkah sia-sianya selama ini saya bergelumang dalam arena politik," katanya.

Kontrasnya kini, Switzerland memerlukan lebih banyak masjid bagi menampung keperluan umat Islam yang semakin ramai di negara itu.

"Adalah tidak wajar Switzerland memaksa umat Islam mengamalkan kepercayaan, ajaran dan ibadat mereka di lorong-lorong belakang," kata Streich.

Islam kini merupakan agama kedua terbesar di Switzerland selepas agama Kristian iaitu terdiri lebih dari 350,000 penganut.

No comments:

Post a Comment